UTUSAN
Kelantan sahkan kejuaraan
KUALA LUMPUR - Kelantan cemas seketika sebelum mengesahkan kejuaraan Liga Super 2011 apabila diasak pasukan tuan rumah Sabah pada babak akhir perlawanan, sebelum menang 2-1 di Stadium Likas, Kota Kinabalu semalam.
Peledak utama Red Warriors, Noorshahrul Idlan Talaha muncul wira pasukannya apabila menjaringkan kedua-dua gol pada minit ke-5 dan ke-71.
Selepas jaringan kedua itu, Kelantan yang hanya menantikan wisel penamat dibunyikan, cemas apabila Sabah bangkit memberi tentangan dengan memperoleh gol menerusi Razlan Otoh, minit ke-76.
Jaringan tersebut menyuntik semangat pemain Sabah untuk memburu gol penyamaan dengan melakukan asak bertali arus, namun gagal menembusi gawang Kelantan yang dikawal kemas Khairul Fahmi Che Mat.
Kemenangan pada perlawanan terakhir semalam membolehkan Kelantan mengumpul 56 mata dan tidak mampu dicabar Selangor dan Terengganu.
Sebaliknya Selangor menutup saingan musim ini dengan penuh kehampaan, apabila bukan sahaja gagal memintas Kelantan, sebaliknya tercicir ke tangga ketiga selepas seri tanpa jaringan dengan Perak di Stadium Perak, Ipoh.
Kedudukan naib juara pula menjadi milik Terengganu apabila berpesta gol dengan membelasah Felda United 6-2 di Stadium MBPJ, Kelana Jaya.
Penyerang Terengganu, Abdul Hadi Yahya meledak empat gol pada minit ke-22, ke-42, ke-70 dan ke-82, manakala dua gol lagi dijaringkan Ree Shafiq Alwi minit ke-16 dan Abdul Manaf Mamat minit ke-18.
Gol Felda United pula dijaringkan Mat Asmarul Fadzil Hassan minit ke-45 dan Mohd. Shazwan Zainon minit ke-85.
Negeri Sembilan menutup saingan musim ini dengan kemenangan 2-0 ke atas Perlis diStadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi hasil jaringan Ahmad Fakri Sharani minit ke-36 dan Shahurain Abu Samah minit ke-59.
Kedah menamatkan saingan di tangga keempat selepas menang 1-0 ke atas pasukan kedua tercorot, Pahang di Stadium Darulmakmur, Kuantan menerusi jaringan tunggal Mohd. Fiqri Md. Isa minit ke-69.
BERITA HARIAN
Milik Kelantan
Oleh Hussain Said
hussain@bharian.com.my
2011/07/07
NORSHAHRUL Idlan Talaha membuktikan bisanya apabila menyumbat dua gol untuk membantu Kelantan mengukir sejarah menjulang trofi Liga Super buat julung kali dengan menundukkan Sabah 2-1 di Stadium Likas, malam tadi.
Namun, dua gol penyerang kebangsaan itu gagal membantunya memenangi Kasut Emas selaku penjaring terbanyak liga selepas penyerang Terengganu, Abdul Hadi Yahaya meledak empat gol ketika Terengganu membelasah FELDA United 6-2.“Kejayaan ini memberi motivasi terbaik buat kami untuk menghadapi misi mempertahankan kejuaraan Piala Malaysia selepas ini,” kata pengendali Kelantan, Datuk M Karathu. “Pada awalnya memang situasi agak tertekan, tetapi gol pembukaan Norshahrul sedikit meredakan tekanan.
“Pemain mengikut strategi yang diarahkan dengan baik dan keupayaan barisan tengah mengawal bola sepanjang permainan memainkan peranan dalam kejayaan malam ini.”
Kejayaan skuad Karathu itu menyaksikan mereka menjadi pasukan keenam selepas Pahang (2004), Perlis (2005), Negeri Sembilan (2006), Kedah (2007 dan 2008) dan Selangor (2009 dan 2010) menjulangnya.
Lebih manis, ia adalah trofi kedua dalam koleksi The Red Warriors musim ini selepas memenangi perlawanan sumbangsih Piala Sultan Ahmad Shah dengan menewaskan Selangor 2-0, selain mengubati kedukaan tewas kepada Terengganu 2-1 dalam final Piala FA.
Turun dengan hanya perlukan keputusan seri, Kelantan hanya mengambil masa lima minit sebaik bermula bagi meredakan tekanan tinggi perlawanan itu apabila Norshahrul menembusi gawang dikawal Azizon Abdul Kadir.
Gol berpunca daripada lontaran Daudsu Jamaluddin yang gagal dikeluarkan benteng Sabah sebelum Norshahrul yang baru pulang daripada tugasan bersama skuad kebangsaan di Taiwan, mudah menolak masuk untuk gol ke-17 musim ini.
Penyerang mesra dikenali Mat Yo itu mengulangi sentuhan pemusnahnya di babak kedua apabila melambung cantik untuk memperdayakan Azizon pada minit ke-71, sebelum Razlan Oto merapatkan kedudukan buat tuan rumah lima minit kemudian.
Sinar Harian
Kelantan juara baru Liga Super
KOTA KINABALU – Kelantan menamatkan penantian sejak tiga tahun lalu untuk mengecapi kejuaraan Liga Super buat pertama kali apabila mengalahkan Sabah 2-1 dalam perlawanan terakhir liga di Stadium Likas, Kota Kinabalu malam tadi.
Kemenangan malam tadi mengesahkan The Red Warriors selaku pasukan keenam bergelar juara sejak ianya dipertandingkan lapan tahun lalu dan bakal membawa pulang wang tunai RM500,000. Selaku bergelar juara, Kelantan secara automatik menempah tiket layak beraksi dalam Kejohanan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) tahun depan.
Sementara itu, juara baru Piala FA, Terengganu muncul selaku naib juara setelah berpesta gol mengalahkan KL Felda United FC 6-2 dalam satu lagi perlawanan yang berlangsung Stadium Majlis MPBJ, Kelana Jaya.
Rentak cemerlang Kelantan bermula seawal minit kedua perlawanan menerusi rembatan jarak dekat Ketua Pasukan, Muhd Badhri Radzi terus ke dakapan penjaga gol Sabah, Azizon Abdul Kadir hasil hantaran lintang Mohd Izuan Salahuddin sebelum itu.
Tiga minit kemudian, Norshahrul Idlan Talaha menceriakan hampir 1,000 penyokong The Red Warriors apabila mudah menolak masuk untuk gol pertama Kelantan. Berpunca lontaran ke dalam Mohd Daudsu Jamaluddin, kesilapan pemain pertahanan tuan rumah gagal mengeluarkan bola dihukum menerusi rembatan mudah untuk menewaskan Azizon dipintu golnya.
Dua minit kemudian, kemaraan Kelantan untuk menambahkan jaringan tidak terhenti disitu apabila Muhd Bahri sekali lagi mempunyai peluang terbaik namun rembatan kencang jarak 25 meter sedikit melewati pintu gol Sabah.
Sabah yang turun dengan misi bermaruah untuk mencipta kemenangan turut mempunyai peluang untuk menyamakan kedudukan pada m-15 perlawanan. Berpunca serangan balas pantas, rembatan kencang Shahrul Azhar Ture dikeluarkan benteng pertahanan Kelantan sementara tandukan susulan penyerang veterannya, Zainizam Marjan terus ke dakapan penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat.
Tujuh minit berselang, Shahrul Azhar sekali lagi mensia-siakan peluang terbaiknya untuk menyamakan kedudukan apabila rembatan kencangnya sekadar menerjah jaring sebelah kiri pintu gol Kelantan.
Malah, dua minit kemudian Shahrul Azhar sekali lagi terlepas peluang apabila gagal menolak masuk hantaran lintang Julamri Muhammad biarpun tidak dikawal benteng pertahanan Kelantan sebelum itu.
Tidak hanya berpuashati dengan satu gol, Kelantan terus melipat ganda asakan menyerang ke pintu gol Sabah namun rembatan kencang Muhd Badhri pada m-35 sedikit melewati pintu gol sementara percubaan Mohd Daudsu Jamaluddin pada m-44 juga hanya beberapa meter melepasi pintu gol.
Minit-minit akhir babak pertama, salah faham diantara Rosdin Wasli dengan Azizon didepan pintu golnya hampir membawa padah kepada pasukannya namun Norshahrul Idlan gagal memanfaatkan peluang tersebut.
Bersambung babak kedua, Sabah membuat percaturan dengan memasukkan Razlan Oto menggantikan Stanley Bernard Stephen Samuel bagi menguatkan jentera serangannya. Pada m-67, pintu gol Kelantan sekali lagi diuji apabila Julamri merembat kencang namun sempat ditepis keluar Khairul Fahmi.
Pada m-71, penyerang terbilang, Norshahrul Idlan terus mengukuhkan kedudukan 2-0 untuk Kelantan apabila sepakan lambungnya dari luar kotak penalti berjaya melepasi jangkauan Azizon dipintu golnya.
Namun, Sabah enam minit kembali merapatkan jurang apabila penyerangnya, Razlan Oto berjaya merembat masuk dari luar kotak penalti berpunca situasi kelam-kabut didepan pintu gol Kelantan sebelum itu.
Minit-minit akhir perlawanan, Norshahrul Idlan terlepas peluang untuk mencipta hatrik apabila rembatan kencangnya dalam kotak penalti dikuis keluar Azizon untuk menyaksikan keputusan 2-1 kekal sehingga wisel penamat dibunyikan.
Kesebelasan utama pemain:
SABAH: Azizon Abdul Kadir, Hariri Mohd Safii, Mohd Reithauddin Awang Emran (KP), Alto Linus, Mafry Balang (Rozaimi Abdul Rahman), Rosdin Wasli (Zuraindey Jumai), Radzi Md Hussin, Julamri Muhammad, Zainizam Marjan, Shahrul Azhar Ture dan Stanley Bernard Stephen Samuel (Razlan Oto).
FORMASI: 4-4-2
KELANTAN: Khairul Fahmi Che Mat, Mohd Daudsu Jamaluddin, S Subramaniam, Mohd Farisham Ismail, Zairul Fitree Ishak, Mohd Shakir Shaari, Muhd Badhri Radzi (KP), Mohd Izuan Salahuddin (Mohd Nizab Ayub), S Chanturu Muhammad Ramzul Zahini Adenan (Mohamad Ab Aziz Ismail) dan Norshahrul Idlan Talaha.
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment